Friday, 8 June 2012 | 22:10 | 0 Animer
Hiruk pikuk poligami. Apa yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang esa dan para Rasul sudah pasti dan sedia ternyata. Namun apa yang masih menjadi isi perbualan tidak lain daripada kesan sampingan yang tercarik pada orang sekeliling. Dunia sering memandang seorang isteri sebagai mangsa utama dalam kes poligami, namun tidak ramai yang berpaling pada anak-anak yang sedikit sebanyak terkena tempiasnya. Berselorohlah seraya berkata rela, hati siapa yang mahu keluarga tercinta dikongsi orang ketiga. Bukan si ibu sahaja yang terluka, anak-anak juga diruntun dilema.
Kisah 1 : “Keluarkan aku dari neraka ini!”- Yanti
”Saya pernah dipukul dan dihalau oleh ayah kandung saya sendiri. Semuanya kerana ibu tiri yang membuat fi tnah dan terlalu membenci saya. Walaupun saya cuba berbuat baik dengan adik tiri tetapi saya masih terus dibenci dan dimarahi. Apa salah saya? Kenapa ayah terlalu mempercayai isteri mudanya yang berhati binatang itu?” luah Yanti kepada penulis saat memulakan kisah hitamnya sambil menitiskan air mata.
Mulanya Indah
Mulanya Indah
Segala-galanya bermula apabila ayah Yanti mengambil seorang gadis dari seberang untuk bekerja di restoran keluarganya. Ibunya yang tiba-tiba diserang penyakit pelik tidak dapat lagi membantu mereka menguruskan hal-hal di restoran. Sama seperti majikan yang lain, layanan yang diberikan kepada pekerja di restoran sangat baik dan mesra.
“Biarlah saya gelar gadis itu sebagai Siti. Kehadiran Siti memang disambut mesra oleh kami. Ayah menjaganya dengan baik kerana Siti merupakan seorang pekerja yang rajin. Tempat tinggal, duit gaji malah telefon bimbit turut ayah berikan kepadanya agar mudah untuk Siti berhubung dengan ibunya di kampung. Keadaan yang indah pada mulanya bertukar menjadi hingar binger setelah dia membawa ibunya masuk ke Malaysia,” katanya dengan wajah sedikit berubah.
Ambil Kesempatan
“Ketika ibunya datang ke sini, Siti meminta izin kepada ayah agar menumpangkan ibunya di rumah kami. Oleh kerana timbul rasa kasihan, kami bersetuju. Tambahan pula ibunya menawarkan diri untuk menjaga ibu saya yang sedang sakit. Sebulan berlalu, keadaan ibu saya semakin pulih. Terusterang saya katakan, saya dan ayah gembira malah kami sepakat untuk mendapatkan permit yang sah untuk mereka berdua.
“Hari demi hari, minggu demi minggu, mereka berdua sudah mula menunjukkan taring. Segala kebaikan yang kami berikan selama ini diambil kesempatan. Si anak sudah pandai melawan setiap kali ditegur, manakala si ibu pula menunjukkan sikapnya sehingga benci untuk saya ceritakan.
“Bukannya apa, kadang-kadang apabila ibu Siti mandi dia sengaja tak tutup pintu bilik air supaya ayah boleh nampak. Kebetulan pula ibu saya semakin sihat dan sudah kembali membantu kerja-kerja di restoran. Jadi, itulah masanya dia nak menggoda ayah saya kerana dia juga sudah lama berseorangan,” ujar Yanti yang merupakan anak tunggal.
Ibu Meninggal Dunia
“Suatu hari, ibu jatuh sakit sekali lagi tetapi kali ini keadaan ibu lebih teruk. Saya panik dan tak tahu nak buat apa sebab ibu terus pengsan ketika dalam perjalanan keluar dari rumah untuk ke restoran. Saya terus hubungi ambulans dan bawa ibu ke hospital. Sepanjang ibu berada di hospital, ayah hanya menjenguk ibu tiga kali sahaja. Selebihnya dia di restoran dan melayan perempuan gatal itu!
“Keadaan ibu semakin teruk dan saya meminta pertolongan ibu saudara untuk bawa ibu berubat cara tradisional. Dari situlah kami dapat tahu yang ibu sebenarnya terkena buatan orang. Ibu terkena santau angin sehingga seluruh tubuhnya lumpuh dan hilang selera makan.
“Ini menyebabkan badan ibu yang dahulunya sedikit berisi semakin cengkung dan tidak bermaya lagi. Dalam pada itu, ayah sempat lagi berkahwin dengan ibu Siti. Tidak sampai sebulan, ibu pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Dunia ini saya rasakan gelap gelita malah hilang segala sinar dalam hidup saya,” cerita Yanti sehingga air matanya sudah tidak terbendung lagi.
Rasa Terseksa
“Sejak ibu pergi, hidup saya semakin terseksa. Setiap hari saya dimarahi, diherdik dan dipukul oleh ibu tiri. Saya cuba mengadu kepada ayah tetapi ayah tidak percaya malah saya pula yang dituduh jahat. Pernah sekali saya dituduh cuba mencuri baju Siti sedangkan baju tersebut saya yang berikan kepadanya. Macam-macam tohmahan yang dilemparkan kepada saya sehingga ada ketika itu, saya bergaduh besar dengan ibu tiri.
“Dia terlepas cakap bahawa dia sebenarnya yang menyantau ibu. Hancur hati saya ketika itu dan hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kini, kehidupan saya masih sama. Saya berharap agar sinar bahagia sentiasa menanti saya. Setiap hari saya tak henti-henti berdoa agar saya dikeluarkan daripada neraka ini!
“Saya sudah terlalu penat hidup dalam keseksaan. Saya dapat rasakan yang ayah juga sudah terkena buatan isteri mudanya yang tak sedar diri tu! Saya hanya mampu berdoa agar ayah diberi petunjuk dan sedar akan apa yang terjadi kepada kami sekeluarga selama ini,” luah Yanti dengan seribu harapan.
Dapatkan Majalah Remaja isu 1 Jun 2012 untuk menyelami hati anak-anak Poligami.
Labels: Remaja isu 1 Jun 2012
| 06:08 | 0 Animer